Tuesday 24 September 2013

tamiya 1999 by my metro.

SATU persatu kereta kecil meluncur laju di dalam litar sambil mengeluarkan bunyi yang membingitkan telinga. Sesekali terdengar bunyi berdesing apabila ia bergesel dengan dinding litar namun bagi peminat kereta mainan Tamiya Mini 4WD, bunyi berkenaan ibarat pembakar semangat untuk terus melihat kereta mainan masing-masing mencatatkan masa terpantas.
Permainan ini bukan sesuatu yang baru di negara ini kerana sekitar 1998 hingga 2002 ia pernah menjadi kegilaan ramai, terutama kanak-kanak.

Ketika itu, dapat dilihat trek permainan itu ada di merata-rata tempat yang menjadi tumpuan peminatnya.
Namun atas faktor tertentu, kegilaan itu semakin menurun dan hampir lenyap namun begitu masih ada segelintir peminat setianya meneruskan permainan itu.

Memang tidak dapat dinafikan permainan ini mempunyai kos tinggi untuk melakukan pengubahsuaian bagi memastikan sebuah kereta itu bertahan lama.

Perkara itu diakui David Chong, 33, yang menceburi permainan ini lebih 10 tahun lalu dan menganggap wang adalah faktor penting bagi seseorang terus bermain permainan itu.
Katanya, sama seperti kereta sebenar, kereta Tamiya memerlukan pertukaran bagi bahagian yang mengalami kerosakan dengan menggunakan alat ganti berkualiti.

"Permainan ini bukan seperti permainan alat kawalan jauh (RC) yang mempunyai alat yang boleh mengawal kelajuan kereta, tetapi menggunakan kuasa bateri.
"Ia agak mencabar kerana pemilik kereta perlu tahu kekuatan dan kelebihan kereta mereka bagi memastikan ia mampu bersaing dengan kereta lain," katanya.

Menurutnya, proses pengubahsuaian sesuatu kereta dilakukan dengan mengambil kira kesesuaian alat ganti yang digunakan untuk kereta itu.

Katanya, ia juga sedikit sebanyak berkaitan dengan ilmu kejuruteraan, namun tidak bermakna hanya individu yang ada ilmu berkenaan mampu melakukannya.

David berkata, kemahiran modifikasi ini lebih terarah kepada pemikiran logik terhadap sesuatu perkara selain menuntut percubaan berulang kali.

"Kelancaran setiap kereta bergantung kepada keupayaan bahagian motor dan bateri berfungsi secara serentak, sekali gus memastikan kelajuan kereta itu.

"Pemahaman setiap bahagian kereta berkenaan adalah penting kerana ia juga memerlukan skil dan bukan bermain secara membabi buta," katanya ketika ditemui di kedai Tamiya, underground level B2, pusat beli-belah One Utama (new wing).

Beliau berkata, sebuah kereta Tamiya boleh didapati dengan harga sekitar RM40 namun proses pengubahsuaiannya boleh mencecah ribuan ringgit.

Katanya, alat ganti kereta itu berbeza mengikut kualiti dan jenisnya, malah memerlukan kos tinggi untuk mengekalkan prestasi kereta itu supaya mampu bersaing.

"Mungkin atas faktor itulah permainan ini jarang dimainkan masyarakat kini berbanding ketika awal kemunculannya.

"Namun perlu diingat, kereta yang mempunyai nilai tinggi tidak semestinya berpotensi muncul juara dalam setiap pertandingan kerana ia bergantung kepada aspek kelancaran setiap bahagian," katanya.

Permainan Tamiya Mini 4WD ini mula diperkenalkan oleh syarikat Tamiya di Jepun sekitar 1982 dan kemudian menjadi kegilaan di seluruh dunia.

Kereta ini lazimnya berukuran minimum 165 milimeter (mm) panjang dan lebar 105 mm dengan berat sebanyak 90 gram, termasuk baterinya.

Oleh kerana permainan ini tidak mempunyai alat kawalan jauh bagi mengawal tahap kelajuannya, tidak hairan ia kerap terpelanting apabila melalui litar yang sedikit berbukit.

Bagi memastikan kelancaran luncuran kereta itu, pemain lazimnya meletakkan roller di empat penjuru kereta itu supaya ia dapat melunjur dengan laju dan lancar.

"Roller itu bertindak sebagai penyerap geseran pada dinding trek dan melancarkan pergerakan kereta itu.

"Dalam sesuatu pertandingan, juara ditentukan melalui catatan masa terpantas dan pemasangan roller itu antara faktor kereta bergerak pantas," katanya.

Menurutnya, selain kereta, trek memainkan peranan penting dan setiap pemain perlu memahami kereta mereka bagi disesuaikan dengan keadaan trek.

Ada tiga jenis trek dalam permainan ini iaitu trek kelajuan tinggi, separa teknikal dan super teknikal.

Katanya, jika dibandingkan dengan negara jiran lain, Malaysia masih mampu bersaing walaupun jumlah peminatnya kecil.

"Indonesia contohnya mempunyai ramai peminat dan permainan ini semakin berkembang, malah mudah mendapatkan alat ganti.

"Bagaimanapun, permainan ini berpotensi untuk terus menambat hati masyarakat, terutama golongan muda, jika promosi sewajarnya dilakukan," katanya.


>INFO
> Permainan kereta Tamiya Mini 4WD mula diperkenalkan oleh syarikat Tamiya di Jepun pada 1982
> Mula mendapat sambutan hangat di Malaysia pada 1998 sehingga 2002 sebelum ia mulai reda
> Berbeza dengan permainan alat kawalan jauh kerana ia menggunakan sepenuhnya kuasa bateri dan motor
> Dimainkan di atas trek khas seakan-akan litar Formula Satu
> Tempat yang menjadi tumpuan bagi peminat adalah di kedai Tamiya, underground level B2, pusat beli-belah One Utama (New wing)


>PROFIL
NAMA: Izwan Rasip
UMUR: 23 tahun
ASAL: Kluang, Johor
PEKERJAAN: Pegawai Teknologi Maklumat

KETIKA di bangku sekolah, dia berkongsi kegilaan permainan kereta Tamiya Mini 4WD bersama gurunya yang ketika itu membina trek di sekolah.

Malah guru itu yang memperkenalkannya kepada permainan itu sehingga dia mempunyai kira-kira 15 buah kereta Tamiya pelbagai jenis.

Namun, sejak memasuki sekolah berasrama penuh, dia menjual semua koleksi keretanya kerana tiada masa bermain sehingga melupakan permainan itu.

"Saya mula aktif bermain permainan ini semula sejak Awal tahun apabila ternampak kedai menjual model kereta di pusat beli-belah One Utama yang mempunyai trek bermain.

"Secara tiba-tiba semangat saya kembali membara dan mula mengumpul semula koleksi kereta ini," katanya.

Anak muda kelahiran Kluang, Johor ini berkata, sehingga kini dia menghabiskan kira-kira RM4,000 untuk melakukan pengubahsuaian terhadap keretanya.

"Mungkin bagi sesetengah orang, jumlah itu besar dan seakan-akan membazir untuk dilaburkan pada kereta kecil ini, namun saya tidak ambil pusing semua itu.

"Sekurang-kurangnya saya tahu ke mana wang saya dilaburkan selain memberi kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata," katanya.

Menurutnya, dia masih dikira individu baru dalam permainan ini dan sering berbincang dengan mereka yang sudah lama berkecimpung dalam permainan itu.


>PROFIL
NAMA: Mahathir Wagih
UMUR: 28 tahun
ASAL: Johor Bahru
PEKERJAAN: Jurutera Perisian

DIA antara pemain yang menimbulkan rasa gentar lawannya kerana sering muncul juara dalam pertandingan Malaysia Mini 4WD Challenge yang diadakan setiap bulan.

Ditanya rahsia di sebalik kejayaannya, dia berkata, semua bergantung pada sejauh mana pemilik kereta memahami keretanya.

Katanya, kepantasan sesebuah kereta bukan hanya bergantung pada alat ganti digunakan tetapi juga kreativiti pemilik untuk melakukan pengubahsuaian kepada kereta.

"Saya tidak lokek untuk melabur bagi mendapatkan yang terbaik untuk kereta saya dan sehingga kini saya mempunyai 10 kereta Tamiya.

"Setiap kali berlaku kerosakan, saya sendiri membaikinya dan jarang meminta bantuan orang lain kerana hanya saya memahami 'perangai' kereta saya," katanya.

Mahathir berkata, dia sering menonton video di Internet bagi mempelajari teknik dan cara memastikan kereta dapat bergerak laju.

"Saya juga berinteraksi dengan peminat permainan ini di dalam mahupun luar negara menerusi forum dan laman web Tamiya.

"Malah saya dapat berkongsi idea dan pendapat berkaitan permainan ini kerana setiap negara ada cara dan peraturan permainan berbeza," katanya.

Menurutnya, walaupun hadiah ditawarkan dalam pertandingan disertainya tidak besar, dia tetap berasa puas.


>PROFIL
NAMA: Fairuz Md Nor
UMUR: 26 tahun
ASAL: Shah Alam Selangor
PEKERJAAN: Jurutera

MINATNYA terhadap permainan ini bukan sekadar menyertai pertandingan semata-mata, sebaliknya dijadikan tempat meluahkan kreativitinya melalui solekan terhadap keretanya.

Dia gemar mencantikkan keretanya dan tampil berbeza berbanding kereta orang lain kerana mahu lari daripada imej ganas yang sering ada pada kereta permainan itu.

Menariknya, dia sering menerapkan corak bermotifkan bunga dan warna merak jambu ke atas keretanya sehingga ada yang menyangka keretanya milik perempuan.

"Permainan ini adalah hobi saya dan saya tidak mahu terikat pada satu saluran saja. Justeru saya cuba memperlihatkan nilai kreatif melalui kepakaran menyolek dan meningkatkan kuasa kereta.

"Tidak dapat dinafikan, setiap kali menyertai pertandingan, kereta saya menarik perhatian orang ramai kerana unik berbanding yang lain," katanya.

Menyentuh sisi pertandingan pula, dia lebih gemar bermain di trek separa teknikal kerana ia lebih seimbang.

"Trek kelajuan tinggi biasanya memerlukan kuasa bateri tinggi kerana ia dinilai daripada sudut tahap kelajuan sesebuah kereta dan trek berkenaan biasanya landai.

"Trek super teknikal pula lebih mencabar dan banyak halangan seperti bukit. Trek separa teknikal adalah gabungan kedua-dua jenis trek berkenaan," katanya.

Anak muda ini banyak menyertai pertandingan bukan saja di dalam negara, malah di negara luar seperti Singapura dan Indonesia.

Thursday 19 September 2013

Gundam Bandai And Tamiya Mini 4wd

korang pernah ade kan tamiya  jadi saya ingin mengingat kan bende tamiya, tamiya adalah sejenis hobby jadi saya pon suka tamiya saya beli lah tamiya 4 buah. korang pernah ade tamiya sangat  best tamiya kalau korang minat lah. ade game tamiya kat  psp name game tuh extranl wing entah betul ke tah lah ejaan tuh..jadi sape yang minat tamiya mai lah beli kat TU(Tamiya Underground) atau sape yang nak main balik dan satu saje jugak name dia gundam saya sangat suka gundam sape yang beli gundam ke berhati-berhati buat. tak   kesah lah jename ape pon janji gundam tapi lebih baik korang sokong jename original jadi beli gundam jename bandai sangat bagus jename bandai senang buat cantik kalau korang beli jename bandai jadi beli bandai...citer pasal tamiya balik ok kalau korang nak beli mini 4wd korang  beli jenama tamiya sebab jename lain tak tahan dan tak lawa semua dia buat semua pelik-pelik jadi baik korang beli tamiya mini 4wd dekat TU(Tamiya Underground) atau dekat dataran nilai ade nasi arab korang singgah nasi arab tuh korang beli lah tamiya dalam tuh sebab dia jual tamiya dan nasi arab sekali kalau korang tak nasi arab pon takpe nak beli tamiya boleh kat kedai nasi arab tuh banyak makanan dia jadi beli kat situ kalau dia buat track kat situ mai lah datang...